Sabtu, 22 September 2012

Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul?_Usman Awang

SEBENARNYA Sang Ketam tidak pernah
menyuruh dan mengajar anaknya berjalan betul
kerana Sang Ketam cukup yakin bahawa caranya
berjalan, sebagaimana cara nenek moyang kepada
nenek moyangnya, dan cucu cicit kepada cucu cicitnya berjalan, telah betul dan sempurna.
sebaliknya bangsa Ketam pulalah yang merasa
hairan dan takjub melihat manusia itu sendiri
yang tidak habis-habis, malah bertambah-tambah 
dengan ajaran dan peraturan yang pelbagai
macam, dari doktrin-doktrin, rukun-rukun, 
fatwa-fatwa sampailah kepada akta-akta, pekeli-
ling-pekeliling dan memo-memo. manusia telah
menghabiskan waktunya untuk membuat segala 
macam peraturan dan dan mengawas perlaksanaan 
peraturan-peraturan; dari peraturan lalulintas 
jalan raya; peraturan datang ke pejabat dan
peraturan berpakaian; sampailah kepada peratur-
an-peraturan bercakap di Parlimen dan di
Mahkamah, peraturan menyekatkan air dan
menggunakan elektrik, serta peraturan menyim-
pan rambut di kepala bagi kepala yang berambut.
Kehairana Sang Ketam itu kian bertambah bila 
melihat manusia yang tidak pernah berjalan betul 
itu menghabiskan waktunya dengan mendandan
mukanya, memelihara rambutnya, mengenakan
pakaiannya. malah lebih aneh menahan makan 
dan minumnya untuk menguruskan badan, menelan
kapsul dan jamu-makjun untuk memperkuatkan
bahagian-bahagian anggota tubuhnya, mengum-
pulkan harta dan ringgit, menentukan jenis darah
dan keturunan serta status dan gelaran, malah 
sangat teliti mencukur bulunya di samping
berkelahi dan berbunuhan, menindas dan menipu
sesamanya. soalnya di sini, siapakah sebenarnya
yang mengajar dan menyuruh anaknya berjalan
betul, Ketam atau Manusia?

_1979



Khamis, 20 September 2012

Tulang-tulang Berselerakan_Oleh: Usman Awang

BUAT teman-temanku yang dikasihi
gelakkmu hangus di hutan malam
tinggalkah sedu di bilik ibu
(lihat tugu 'indah' mu tegak berdiri
yang dipahat oleh tangan asing
seperti mengalirnya darahmu untuk orang lain).

Buat mereka yang tidak pernah disapa
atas keberanian dan keyakinan
yang tidak terkalahkan 
dengan sedar menerima segala derita.

Inilah kisah di bumi Tuhan
kita dan mereka bersama-sama
menggali lalu menimbumi rangka
dari tulang-tulang berselerakan



Selasa, 18 September 2012

KEKASIH_Oleh: Usman Awang

Antara puisi-puisi Usman Awang. Puisi nie yang paling saya suka.  <3 it

AKAN kupintal buih-buih
                menjadi tali
                mengikatmu

akan kuanyam gelombang-gelombang
                menjadi hamparan 
                ranjang tidurmu

akan kutenun awan-gemawan
                menjadi selendang
                menudungi rambutmu

akan kujahit bayu gunung
                menjadi baju
                pakaian malammu

akan kupetik bintang timur
                menjadi kerongsang
                menyinari dadamu

akan kujolok bulan gerhana
                menjadi lampu
                menyuluhi rindu

akan kurebahkan matari
                menjadi laut malammu
                menhirup sakar madumu

kekasih, hitunglah mimpi
                yang membunuh realiti
                dengan syurga ilusi